Header Ads

5,230 Kasut Tiruan Berjenama Dirampas Dalam Pasaraya


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor berjaya merampas 5,230 pasang kasut tiruan berjenama bernilai RM385,520 dalam serbuan di tiga premis perniagaan di sebuah pasar raya di Skudai, semalam.

Pengarahnya Khairul Anwar Bachok berkata, kejayaan berkenaan hasil risikan dan pemantauan selama sebulan sepasukan 25 anggota penguatkuasa KPDNKK diketuai Pegawai Penguatkuasa Nazari Ham jam 2 petang.
"Operasi membanteras penjualan barang tiruan itu dilakukan ke atas premis menjual kasut, sandal serta pakaian di dalam sebuah pasar raya di Skudai.
"Pemeriksaan lanjut mendapati premis ini menjual barangan disyaki tiruan dari jenama Adidas, Nike dan Converse," katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNKK di Taman Desa Idaman, Senai di sini, hari ini.
Pihaknya mengambil rakaman percakapan dua individu termasuk lelaki berusia 41 dan wanita berusia 55 tahun dipercayai peniaga barangan tiruan itu.
"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan barangan ini, namun barangan berkenaan untuk pasaran sekitar negeri ini.
"Kami percaya ia dipasarkan di pasar malam, pasar borong dan kedai kecil yang menjual barangan tiruan," katanya.
Barangan tiruan itu dijual serendah RM30 hingga RM100 sepasang bergantung kepada jenis dan kualiti barangan itu iaitu gred A, AA dan AAA.
"Dengan kejayaan ini, pihak kementerian percaya dapat melumpuhkan aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan di daerah ini," katanya.
Semua barangan itu disita di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun," katanya.
Beliau berkata, pihak KPDNKK Johor akan terus menjalankan operasi sama ke atas premis yang menjual barangan tiruan jenama berkenaan termasuk premis menjual barang cetak rompak.
"Dinasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang serta tidak terbabit dalam aktiviti penjualan atau pengedaran barang tiruan.
"Pengguna pula berhati-hati membuat pembelian ke atas barangan di pasaran," katanya.

Sumber : MyMetro

Tiada ulasan