Header Ads

[Video] Permainan ‘Mati Lima Saat' Diharamkan


Permainan ‘pass out challenge’ atau mati lima saat diharamkan dimainkan pelajar di sekolah, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau  berkata arahan itu berkuat kuasa serta merta agar tidak berlarutan.

"Pada saya ini sesuatu permainan yang haram, tidak boleh dimainkan dan perlu diambil tindakan tegas kepada mereka yang berkenaan.

"Bagaimana jika pemain yang bermain benar-benar mati. Sebab itu kita perlu tegas dan ambil tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kaunseling Antarabangsa Malindo Kelima di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video yang tular yang menunjukkan pelajar asrama bermain pass out challenge dengan bergilir-gilir menekan dada rakan-rakan mereka.

Mahdzir berkata kementerian akan mengeluarkan arahan kepada guru hal ehwal murid dan warden asrama supaya tindakan tegas diambil terhadap pelajar yang bermain permainan tersebut.

----

Tindakan menekan dada dengan kuat hingga tidak bernafas selama beberapa saat itu boleh mengundang maut pada kali pertama dilakukan.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad berkata, permainan tersebut perlu dihentikan kerana ia terlalu bahaya.

“Biasanya 'choking' ini dikaitkan dengan menekan secara kuat di bahagian leher seseorang.

"Kesan daripada tekanan itu, akan menyebabkan hilang nafas selama beberapa saat, namun ada juga yang mengundang maut.

“Sama jugalah konsepnya dengan permainan yang menjadi tular hari ini. Aktiviti sebegini juga boleh menjadi lebih bahaya apabila jantung berada dalam selaput pericardium," katanya.

Beliau berkata, apabila dada ditekan, jantung tidak boleh berdegup dengan baik hingga menyebabkan kematian secara mengejut.

Katanya, tanda-tanda kekurangan oksigen adalah muka bertukar biru, salur darah kecil di bahagian mata pecah, luka di bahagian kulit juga pecah dan petechiae iaitu bintik-bintik merah akibat pendarahan di dalam kulit.

Sumber : SinarHarian

Tiada ulasan