Minum Air Terlalu Banyak Boleh Jadi Sawan


Ada masanya saya pelik dengan soalan-soalan yang saya terima di Twitter. Minum air, minum lah. Bersederhanalah. Tak payah terlebih dan harapnya jangan kurang. Saya sendiri tidak menyukat pengambilan air. Janji tidak haus dan air kencing kita tidak terlampau pekat. Cukup.

Apa yang kita perlu sehari adalah mengikut aktiviti kita ya. Sebagai contoh, jika kita berdiri tengah panas, aktiviti bersukan, demam; nescaya keperluan air akan jadi lebih lagi. Jangan lupa, makanan kita pun ada kandungan air ya; terutamanya buah-buahan.

Minum banyak air TIDAK BOLEH kuruskan badan. Nak kurus, kena kira kalori keluar masuk betul-betul.

Minum terlebih sangat air boleh memudharatkan (jangan tanya saya berapa banyak sebab lain orang lain). Entiti ini (dipanggil Primary Polydipsia) jarang berlaku. 


Bila badan terlebih sangat air, air akan menyebabkan sel badan membengkak (gambar atas). Ia juga berlaku di dalam otak kita; jadi menyebabkan risiko seperti keliru, koma dan sawan. Kondisi ini dipanggil Hypervolaemic Hyponatraemia (dilutional), biasanya bila bacaan darah sodium terlampau rendah (normal antara 135-145 bergantung kepada makmal).

Keadaan ini juga boleh berlaku bila ada kegagalan buah pinggang, hati & lemah jantung. Sebab itu Doktor mohon kurangkan pengambilan kuantiti air.

Tak payah susah-susah nak tanya berapa banyak air anda perlu kerana lain orang lain. Yang tentunya, tak payah sampai 10L.

Bersederhanalah.


Boleh baca panduan umum dari Mayo Clinic, US [1] dan NHS UK[2].

Rujukan:

1. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/in-depth/water/art-20044256?pg=2

2.https://www.nhs.uk/Livewell/Goodfood/Pages/water-drinks.aspx

3. Acute Hypervolaemic Hyponatraemia Case Report. SB Thomas, Nursing2017 l Volume 47, Number 10 page 55


Sumber: fb Rafidah Abdullah - Pakar Perunding Perubatan & Nefrologi

Tiada ulasan