Ubat Kuat Boleh Menyebabkan Mati Mengejut


Pengambilan ubat kuat ataupun ubat perangsang seks untuk mengatasi masalah lemah syahwat adalah satu tindakan yang sangat berbahaya sekiranya tidak mendapat nasihat pakar perubatan yang bertauliah.

Malangnya, ada juga pengguna yang mengambil ubat perangsang seks semata-mata mahu mencuba kerana perasaan ingin tahu. Akibatnya mereka menyesal seumur hidup kerana kesan sampingan ubat perangsang seks menyebabkan kerosakan hati, buah pinggang dan gangguan mental. Ada juga yang tidak sempat menyesal kerana produk perangsang seks ini menimbulkan gangguan pada fungsi jantung dan menyebabkan kematian mengejut. 

Apakah produk perangsang seks?

Ubat perangsang seks merupakan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah gangguan seksual, seperti mati pucuk ataupun impoten (erectile disfunction). Di Malaysia, beberapa jenis ubat perangsang seks telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia dan digunakan untuk merawat masalah ini. Antara jenama ubat perangsang seks yang popular adalah Viagra (mengandungi sildenafil), Cialis (mengandungi tadalafil) dan Levitra (mengandungi vardenafil).


Penggunaan ubat perangsang seks berdaftar dalam rawatan mati pucuk adalah dibenarkan setelah mendapat nasihat dari pengamal perubatan berdaftar (doktor). Selain itu bekalan juga boleh didapati dari premis farmasi berlesen dengan preskripsi doktor. Ubat perangsang seks yang berdaftar akan mempunyai nombor pendaftaran ‘MAL’ dan label hologram pada pembungkusannya.

Penyalahgunaan ubat perangsang seks.

Masalah seksual masih merupakan sesuatu yang ‘taboo’ ataupun memalukan bagi rakyat Malaysia. Oleh itu tidak ramai pesakit yang tampil ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan secara sah. Maka situasi ini telah dieksploitasi oleh individu-individu yang tidak beretika untuk mengaut keuntungan segera tanpa menghiraukan kesan buruk dan bahayanya kepada keselamatan individu dan masyarakat.

Permintaan tinggi dari individu yang hanya inginkan keseronokan tanpa menyedari bahaya penggunaan ubat-ubat ini turut menyebabkan peningkatan bilangan produk perangsang seks tidak berdaftar di pasaran dan premis yang menjualnya. Situasi ini diluaskan lagi dengan perkembangan sains dan teknologi yang memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk memasarkan produk mereka melalui media sosial dan laman web. Kebanyakan iklan dan promosi produk-produk tersebut memaparkan testimoni yang sengaja direka tanpa sebarang asas dan tidak berdasarkan kepada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan mereka.

Bentuk penyalahgunaan ubat perangsang seks

Pemantauan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati pengeluar dan penjual kini menukar taktik dan kurang memasarkan produk mereka dalam bentuk dosej farmaseutikal seperti tablet, kapsul, atau pil. Ini dilakukan untuk mengelirukan pengguna di samping mengelakkan produk tersebut dari keperluan pendaftaran. Bahan aktif ubat perangsang seks kini dikesan dicampur ke dalam produk tradisional, produk ubat bukan racun (OTC) dan produk berasaskan makanan seperti gula-gula, kopi pra campuran dan minuman kesihatan.

Bahan-bahan ini dipercayai telah diseludup masuk dari negara luar dan dicampur ke dalam produk-produk keluaran tempatan di kilang-kilang haram. Terdapat juga produk perangsang seks yang telah siap diseludup masuk dari negara asal seperti China, India, Thailand dan Indonesia. Produk perangsang seks dalam bentuk makanan ini dijual menggunakan nama-nama yang menjurus kepada aktiviti seksual seperti kopi hari-hari mau, extend-up energy drink  mahupun mentalk candy. Perubahan bentuk fizikalnya juga membolehkan produk ini diedarkan secara lebih meluas termasuklah ke kedai-kedai runcit, kedai makan mahupun kedai serbaneka.

Senarai poduk yang dikesan dicampur dengan bahan perangsang seks boleh didapati dengan melayari : www.pharmacy.gov.my , klik pada pautan “perkhidmatan” dan seterusnya klik “senarai produk dikesan mengandungi bahan terlarang”

Kesan Penggunan Ubat Perangsang Seks

Pengambilan sebarang jenis ubat-ubatan tanpa nasihat dan pengawasan doktor boleh mendedahkan pengguna kepada kesan advers ubat tersebut. Sekiranya sesuatu ubat diambil dalam dos dan cara pengambilan yang betul maka kesan adversnya akan dapat dikurangkan. Antara kesan pengambilan ubat perangsang seks adalah tekanan darah rendah di mana pengguna akan merasa pening hingga hampir pitam. Ianya juga boleh menyebabkan kerosakan hati, buah pinggang dan gangguan mental. Kombinasi dengan bahan nitrat yang terdapat di dalam produk ubat yang lain boleh menyebabkan kesan kardiovaskular yang tidak diingini sehingga boleh menyebabkan mati mengejut.


Perlu diingat bahawa kesan yang disebutkan ini, adalah untuk bahan aktif yang pernah dibuat ujian klinikal seperti sildenafil dan tadalafil. Bahan aktif yang telah diubahsuai (analog-analog) yang kini banyak dicampurkan dalam ubat perangsang seks tidak berdaftar tidak pernah diuji dan dikuatiri lebih memudaratkan kesihatan pengguna. Seseorang yang mempunyai jantung bermasalah atau tiada masalah mati pucuk tidak sepatutnya menggunakan ubat jenis ini.

Nasihat kepada pengguna

Semua pihak terutamanya pengguna diseru supaya sentiasa bersikap kritis dan teliti dalam membeli produk untuk kesihatan dan jangan membuat pembelian secara terburu-buru. Pengguna perlu berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata manis penjual produk-produk seperti ini. Perlu diingat, penjual produk tidak berdaftar hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan akan mengambil berbagai pendekatan untuk melariskan produk mereka. Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah :-

Dapatkan produk kesihatan daripada premis atau peniaga yang sah (klinik, farmasi) dan bukannya melalui penjual kaki lima ataupun pasar malam.

Pastikan ubat yang dibeli dalam bungkusan asalnya, elakkan membeli sekiranya ianya telah dibuka atau dibungkus semula.

Elakkan membeli produk yang dijual pada harga melebihi kebiasaan. (misalnya kopi pracampur atau gula-gula yang dijual melebihi RM 5 seunit).

Dapatkan nasihat doktor atau ahli sebelum mencuba sesuatu produk untuk rawatan kesihatan.

Pembelian produk perangsang seks melalui Internet, orang perseorangan, syarikat jualan langsung, kaki lima, pasar malam, pasar tani dan kedai-kedai yang tidak berlesen  boleh membahayakan diri kerana produk yang dijual adalah tidak dijamin dari segi mutu dan keselamatannya.

Dipetik dari Laman web BPFK KKM

Tiada ulasan